Monday, October 24, 2011

nasihat k???

BILA MATA KITA TERLIAR SEDIKIT
Pada petang yang aman damai, maka kita pelawalah isteri dan anak-anak kita bersiar-siar di taman-taman rekreasi untuk memecah "monotonous" demi kebahagiaan rumahtangga Kita. Pusing punya pusing mencari tempat letak kereta maka jumpa juga akhirnya di sudut yang agak ramai pengunjung di taman itu. Kita pun mencari kawasan lapang untuk diletakkan tikar dan bekalan makanan sekadar memeriahkan lagi suasana berekreasi itu. Anak-anak kita yang aktif tu kita biarkan mereka melompat-lompat dan berlari melakonkan semula bintang pujaan TV mereka "gagahnya power rangers" dan "ajaibnya doraemon", yang mana kita sendiri gagal membendongnya. Pada ketika inilah isteri kita akan bertambah manja berdamping rapat duduk di atas tikar itu. Dengan air mukanya yang berseri senyum memanjang melihat keindahan alam sekeliling.
Ramailah pengunjung lalu lalang di hadapan dan di belakang kita termasuklah juga anak-anak gadis bersendirian, dengan keluarga dan berkumpulan bersama-sama menikmati keindahan alam rekreasi ciptaan Illahi itu. Sebagai insan yang sentiasa terdedah oleh bisikan syaitan, kadang kala mata kita "terjeling" juga mengekori bayangan mereka yang baru lalu di depan terutama sekali yang telah menghiasi diri mereka untuk ditontoni. Pandang pertama dikira tidak mengapa kerana ia adalah gerakan spontan dari refleksi saraf kita (tetapi hanya beberapa saat sajalah). Tetapi jika kita ulangi dengan pandangan kedua dan ketiga dengan pandangan yang seolah-olah ingin "ta'aruf" dengannya maka yakinlah, pada ketika ini isteri kita telah dan sedang memerhatikan arah tuju panahan mata kita itu. Isteri kita tidak menegur dan terus mendiamkan dirinya sambil memendam rasa dan bertambah remuk lagi jika dilihatnya kita bertambah ghairah hingga sanggup memalingkan kepala 90 darjah ke arah "objek" tersebut. Kita tidak perasan dan memang kita orang lelaki ni tiada perasan dan kurang perasaan. Bersukarialah kita bergelak ketawa dengan anak-anak tetapi isteri kita telah mula pudar senyuman dan jika diagah sekali pun akan kelihatan agahannya itu dibalas ala kadar sahaja.
Maghrib telah hampir tiba, maka kita pun berkemas semula untuk kembali ke rumah. Jelas kelihatan anak-anak kita puas dan malah ada yang tidak mahu balik kerana masih belum puas "berpower rangers" di situ. Tetapi tidak pada isteri kita. Kita pun naik hairan!. Bagi isteri yang "cool" sedikit akan bersindir dulu dengan kata, "Tadi tengok anak dara baju merah tu macam nak makan aje!" Bagi isteri yang lebih berani akan berkata, "Apalah you ni, depan I you tengok perempuan lain pulak.. malulah I".
Bagi suami yang cepat-cepat sedar kesilapannya akan terus membalas dengan gurauan seperti, "Wow! you nampak ke?, Ala hai, depa dah lalu, tengok sikit aje, bukan apa-apa, sorry lah ye!. Itu lintasan syaitan mata I aje". Kes yang ini biasanya menyejukkan kembali gelora kepanasan darah geram di lubuk sanubari iateri kita tu.
Bagi suami yang ada ego tu akan mempertahankan benang basahnya dengan, " Esy! tak de lah, I tak tengok pun". Kes begini akan memanaskan lagi suasana dengan perdebatan yang bertambah panas seperti, " Apa, you ingat mata I ni buta ke?". Pada ketika ini, anak-anak dibelakang tu dah "confuse" dengan tingkahlaku emaknya. Mereka mungkin menyebelahi ayah mereka. Sampailah ke rumah perdebatan yang tiada berkesudahan yang berjalan tanpa pengadil-pengadil yang arif lagi bijaksana menetapkan keputusannya.
Mengapa boleh terjadi demikian?
Seorang isteri akan terasa hilang maruah, rendah harga diri sebagai seorang isteri jika suaminya, dengan kehadiran isteri, melihat perempuan lain dengan pandangan yang "memiangkan" suasana. Mereka tidak akan menegur kita semasa kejadian itu sedang berlaku kerana ingin menjaga maruah suami yang dicintainya itu dikhalayak ramai. Tetapi jika tegurannya itu semasa di dalam kereta (mana-mana isteri yang tidak sabar tu) atau bila dah sampai di rumah (mana-mana isteri yang "cool") dinafikan oleh suami, maka bertambah remuklah hatinya dan akan hilanglah kepercayaan setia kawannya kepada kita. Jika ini yang terjadi, maka selepas sahaja peristewa ini, isteri kita tidak lagi percaya kepada kita dan amat payahlah untuk kita berkomunikasi secara berkesan dengannya. Sebab hati dan pemikirannya telah negatif terhadap keikhlasan kita. Isteri kita akan sentiasa ingat peristiwa ini sampai bila-bila dan akan dikeluarkannya apabila perlu untuk mematikan hujah-hujah kita semasa kita berhujah nanti.
Oleh itu, sentiasalah ingatkan diri kita akan pesanan Allah SWT untuk menundukkan pandangan mata agar bukan sahaja tidak melakukan zina mata tetapi tidak meremukkan kepercayaan isteri kepada kita. Kalau terpandang pertama, tak apa, tetapi cepat-cepatlah beristighfar... dan usahakan jangan diulangi pada kali kedua walaupun tiada isteri di sisi kita. Allah Maha Melihat.
Selamat Mencuba.

2 comments:

  1. http://www.picmonkey.com/
    try ti use this one for ur great n creative header

    ReplyDelete