Monday, November 28, 2011

RenunGan Insan Bergelar WANITA

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah
orang yang cantik jarang berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka
akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan
cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa
bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan
Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia.
Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya
kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,
seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup
menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi
andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya
maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah
dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka
akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar
kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke
mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang
cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak
tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk
meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik
atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya
pada suami adalah akhlak yang indah.

Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih
lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga
raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak
cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari
keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat
jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati
orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat
gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang
berkenan tetapi tidak sedar d iri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan
hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan
wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah
bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang
manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang
bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta
makhluk-makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan
sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari
dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau
menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung
pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang
bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana
untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang
dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan
setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu
dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu
adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah
dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap
lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah
baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah
sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa
saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak
tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang
hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari
penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam.
Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan.
Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau.
Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit
yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah
terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung
pengajaran:
"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari A llahlah datangnya, dan
bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta
pertolongan." An-Nahl: 53

Wallahu a'lam...

Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang
terbaik...

No comments:

Post a Comment